January 17, 2018
You can use WP menu builder to build menus


Gaya dan corak pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mentadbir negara menggabungkan idea, pemikiran dan dasar yang baik melalui pengalamannya ketika menjadi ahli kabinet di era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengalaman berada di dalam era kepimpinan dua orang pemimpin itu membuatkan Najib mengetahui kekuatan dan kelemahan pentadbiran kerajaan yang perlu diperbaiki.

“(Datuk Seri) Najib menggabungkan cara dan dasar-dasar yang baik yang dibuat oleh Tun Mahathir termasuk  Anwar dan beliau menambahbaikkan lagi dasar-dasar tersebut dalam pentadbirannya hari ini.

“Misalnya dalam pemikiran yang melampaui zaman seperti membina menara ikonik bagi melambangkan kemajuan negara yang dilalukan oleh Tun Mahathir dalam pembinaan KLCC.

“Saya lihat beliau juga berfikiran sepertimana Tun Mahathir, di mana beliau berpandangan Malaysia pada hari ini perlu ada satu lagi menara ikonik yang boleh membawa imej pemodenan dan kemajuan dalam pembangunan selari dengan zaman ini.

“Maka timbul idea untuk membina satu lagi menara ikonik yang dipanggil Menara Wawasan yang memberikan isyarat bahawa Malaysia sudah melangkah ke hadapan untuk bersaing menjadi salah sebuah negara maju di dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator pada program Diskusi Anda Tanya Kami Jawab bersama Tan Sri Annuar Musa (TSAM) melalui UMNO Online FB Live yang bertajuk ‘Polemik PM Pakatan Harapan’ bertempat di Auditorium UMNO pada Rabu.

Ahli panel lain yang dijemput ialah Bekas Setiausaha PKR Selangor, Nazmi Rosli ;  Ahli Jawatankuasa Alumni Kelab UMNO Luar Negara, Dr Kusyairi Ahmad; Ahli Jawatankuasa Penerangan MIC Pusat, A Subash Chandrabose; Presiden Pertubuhan Anak Perak, Faizal Lentin; Pengarah Operasi Aktivis Belia Malaysia (MALAYA), Farhan Khairuddin.

Tambah Annuar, Najib melaksanakan idea-idea itu mengikut caranya sendiri dan tidak meniru cara serta pendekatan yang dilakukan oleh Tun Mahathir.

“Contohnya, ketika Tun Mahathir mahu membina KLCC, beliau tidak berbincang terlebih dulu tentang ideanya itu dengan menteri-menteri kabinet. Tiba-tiba satu hari dalam mesyuarat kabinet, datang satu rombongan memperlihatkan kepada kami kepada kami model menara KLCC.

“Kami yang jadi menteri ketika itu agak terkejut kerana pada masa bila beliau berbincang tentang perkara ini dengan menteri-menteri kabinet. Mana kertas kerjanya, tiba-tiba sahaja model bangunannya sudah siap. Apabila tiba pelaksanaan menara bekembar itu, Tun Mahathir mengambil segala tenaga kerja dan kepakaran dari negara luar.

“Tetapi pendekatan Najib untuk membina menara ikonik ini tidak seperti Tun Mahathir. Beliau lebih mengutamakan arkitek-arkitek tempatan dalam merealisasikan pembinaan menara ikonik ini,”ujarnya.

Annuar turut mendedahkan Najib menggunakan pendekatan yang berbeza berbanding Tun Mahathir di mana beliau lebih memikirkan jumlah pinjaman yang dibuat mampu dibayar oleh negara atau tidak dengan memastikan ia dibuat menggunakan ringgit.

“Di zaman pemerintahan Tun Mahathir,  kita ada meminjam wang dari negara Jepun untuk pelaksanaan beberapa projek. Katanya, pinjaman yang dibuat oleh beliau jika dibandingkan dengan pinjaman yang dibuat di zaman pemerintahan sekarang  adalah berbeza, kerana kadar faedah yang diberikan amat rendah.

“Ya, memang betul faedahnya rendah tetapi apa yang rakyat tidak tahu, pinjaman tersebut dibuat berdasarkan matawang asing, di mana setelah ia ditukar kepada matawang kita, kerajaan terpaksa membayar hampir empat ke lima ganda daripada jumlah hutang kerana beliau ketika itu beliau berhutang dengan negara Jepun dalam matawang yen.

“Perkara inilah yang dipelajari dan diperbaiki oleh Najib apabila beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. Sekarang ini apabila negara mahu membuat pinjaman, beliau akan memastikan bahawa pinjaman tersebut hendaklah dibuat berdasarkan matawang ringgit dan boleh dikatakan lebih 95 peratus pinjaman negara dibuat berdasarkan matawang kita dan bukannya matawang asing,” tegasnya.-11/1/2018

PERINGATAN: AgendaDaily tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: