January 21, 2018
You can use WP menu builder to build menus


TSUNAMI Melayu pada PRU14 ini bakal meranapkan impian Pakatan Harapan (Harapan) kekal di Selangor, sekali gus memberi kelebihan buat Pas mentadbir negeri.

Malah, pertemuan tiga penjuru yang dijangka berlaku di setiap Dun dan parlimen, sama sekali tidak menggugat peluang parti Islam itu menang meskipun tanpa PKR dan DAP.

Menurut Yang Dipertua Pas kawasan Puchong, Mohd Soffiean Ismail, Pas yakin strategi dan gerak kerja yang diatur di setiap Dun dan parlimen berupaya menambah baik kedudukan parti itu berbanding pada PRU13.

“Pilihan raya kali ini, pengundi teras kepada Pas adalah kalangan kaum Melayu dan kita rasa sudah ada syarat untuk berlaku satu perubahan besar.

“Jika PRU13 berlaku tsunami Cina tetapi pilihan raya kali ini kemungkinan berlaku tsunami Melayu berikutan perkembangan semasa yang berlaku dalam Harapan,” katanya.

Beliau menambah, soal calon di setiap Dun dan parlimen juga telah dimuktamadkan, dan jentera Pas Selangor kini bersiap sedia sepenuhnya, hanya menunggu masa pembubaran berlaku.

Tandingi semula kerusi Pas

Bagi Pas kawasan Kapar pula, kesemua kerusi akan ditandingi termasuk Dun dan parlimen yang sebelum ini diwakili oleh Pakatan Rakyat.

Yang Dipertua Pas Kapar, Noor Najhan Mohd Salleh berkata, ia bagi memastikan hasrat Pas mentadbir Selangor pada PRU14 menjadi realiti.

“Kalau PRU13 lalu, Parlimen Kapar dan dua Dun di Sementa serta Sungai Pinang adalah milik PKR dan DAP.

“Tetapi kali ini, Pas akan bertanding semua kawasan Dun Kapar atas dasar tiada tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP. Maka, kita akan bertanding semua kerusi di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata, kali terakhir Pas bertanding bagi kerusi Kapar adalah pada 1999 dan kemudian diserahkan kepada PKR.

Menurutnya, matlamat Pas adalah kemenangan, maka jentera parti bergerak ke arah itu.

“Matlamat perjuangan kita tetap sama dan isu menang kalah itu telah kita lalui. Pastinya kita turun untuk menang, jadi jentera kita menggambarkan ke arah itu,” ujarnya.

Tambah Noor Najhan lagi, Pas Selangor akan pastikan sokongan padu rakyat terhadap Pas, termasuk pengundi bukan Melayu.

“Pastinya Pas tetap akan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Kita dalam pilihan raya nak kuasa bagi membawa rakyat ke arah kebaikan.

“Akan datang kita akan mempertahankan kemenangan Gagasan Sejahtera, bukan Pakatan Harapan, bukan BN. Kita berdiri atas tiket kita sendiri,” tegasnya.

Ada kawan atau tidak, lawan tetap lawan

Pas yakin dapat mengekalkan kemenangan di Selangor walaupun bersendirian dan tidak lagi bersama parti pembangkang.

PRU13 menyaksikan Pas ketika bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat, menang 15 kerusi Dun di Selangor, PKR 13 dan DAP 14 kerusi.

Kedudukan ini, menurut Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Besar, Mohd Fadzin Taslimin, Pas positif dapat mengekalkan kedudukan di Selangor.

“Ada kawan atau tidak, siapa pun lawan kita, tidak timbul isu. Pas tidak ada masalah. Ya, matlamat kita mahukan kemenangan dan kita berusaha ke arah itu walaupun bersendirian.

“Kerana itu, Pas meletakkan akan bertanding hampir di kesemua kerusi di Selangor walaupun berlaku pertembungan tiga kerusi,” katanya.

Katanya, perubahan politik di Selangor menunjukkan Pas mempunyai kekuatan sendiri.

“Bahkan Pas akan terus mendapatkan sokongan rakyat dan pengundi termasuk NGO di Sungai Besar.

“Ini menunjukkan rakyat mulai faham dengan matlamat dan perjuangan parti ini, dan Pas tidak perlu terlalu bergantung kepada isu semasa semata-mata,” katanya.

Optimis kemenangan menjadi milik parti itu, Mohd Fadzin mendakwa undi Pas tidak pernah merosot malah bertambah walaupun Pas sudah berusia 60 tahun.

Tetap pertahankan Selangor walau badai melanda

Tidak dinafikan pertandingan tiga penjuru tidak dapat dielakkan dalam mana-mana pilihan raya.

Namun, tiga atau empat penjuru sekalipun, Pas mempunyai potensi menang besar di Selangor, meskipun tanpa Harapan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Sepang, Ir Mohd Haslin Hassan berkata, pilihan raya adalah proses demokrasi dan sesiapa sahaja boleh bertanding.

“Tetapi ia bergantung kepada kekuatan parti masing-masing, dan apabila tiba masa mengundi rakyat menilainya.

“Bagi Pas, secara tradisi mana-mana kerusi yang diletakkan calon, kita akan hadapi sesiapa juga yang akan bertanding. Pas tetap lawan sesiapa sahaja, dan tidak mustahil Pas akan menang lebih banyak kerusi,” katanya.

Dalam usaha mengekalkan kerajaan negeri, Pas akan pastikan musuh politik iaitu BN dan parti lain tidak boleh menguasai Selangor.

“Pas akan pastikan Selangor tidak akan jatuh ke tangan musuh. Kita mahu pertahankan kerajaan sedia ada,” katanya.

Kerjasama tetap diteruskan

Sementara itu, kerjasama Pas dan Kerajaan Selangor tetap diteruskan walaupun Pas tidak bersama dalam Pakatan Harapan.

Perbezaan matlamat dan perjuangan tidak bermaksud Pas perlu mengetepikan amanah rakyat untuk menerajui Selangor.

Sejak 2008, katanya Pas memberikan sumbangan besar kepada kerajaan negeri.

Yang Dipertua Pas Kawasan Ampang, Khasim Aziz berkata, tekad Pas untuk mengekalkan kerajaan negeri, sekali gus menolak tohmahan bahawa Pas tidak pernah membuat sebarang perjanjian dengan Umno.

“Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersatu di atas pentas sama, kerjasama ini demi kebajikan rakyat dan atas matlamat sama, bukan kerana politik atau ada perjanjian dengan Umno.

“Dakwaan itu hanya cubaan mencipta persepsi negatif dan propaganda buruk yang tidak selayaknya dan hanya mengelirukan rakyat” katanya – SH



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: