February 25, 2018
You can use WP menu builder to build menus


SATU hasil tinjauan Merdeka Centre yang baru-baru ini mendedahkan bagaimana undi orang Melayu akan terus kekal bersama BN dan PAS menjelang pilihan raya umum (PRU) yang akan datang perlu dilihat sebagai satu bentuk realiti di lapangan. Laporan kaji selidik agensi itu mendedahkan bahawa pengundi Melayu lebih mempercayai BN dan PAS berbanding gabungan empat parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).

Biarpun PH terus mempertikaikan hasil kajian tersebut sambil mendakwa sokongan dan undi orang Melayu kepada mereka semakin bertambah, hakikatnya dakwaan itu tidak didatangkan dengan data dan fakta. Ya, tidak dinafikan bahawa pakatan pembangkang kini mempunyai blok politik yang semakin besar dengan komponen yang bertambah, tetapi di sana tetap wujud beberapa faktor yang akan meminggirkan mereka daripada sokongan orang Melayu setidak-tidaknya untuk PRU-14 yang bakal menjengah tidak lama lagi.

Kepentingan Islam Dan Agenda Bumiputera

Rata-rata orang Melayu sangat sensitif dengan isu survival bangsa dan agama mereka di negara ini. Melihatkan agenda Melayu dan Islam semakin terhakis dengan beberapa insiden yang tidak diingini mutakhir ini, ramai yang percaya bahawa tidak ada pihak yang lebih baik untuk terus mempertahankan kepentingan kumpulan etnik majoriti itu di negara ini melainkan BN dan PAS. UMNO walaupun terus mengekalkan toleransi agama dan kaum dengan parti-parti komponen lain seperti MCA dan MIC, mereka tetap tidak goyah dan berganjak dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan umat Islam dan orang Melayu.

UMNO adalah antara pihak yang paling ke hadapan dalam memperjuangkan nasib saudara Islam di seluruh pelusuk dunia khususnya dalam isu Palestin dan Rohingya di Myanmar. Selama beberapa tahun, UMNO dan PAS terus membuktikan bahawa mereka boleh berganding bahu bagi tujuan yang maha murni ini. Kedua-dua parti ini jugalah yang paling ke terkehadapan dalam penentangan terhadap beberapa perkara seperti penganjuran pesta arak, budaya LGBT dan penularan fahaman ateisme.

Malangnya, orang Melayu tidak melihat tindakan setegas ini diambil oleh parti majoriti Melayu dalam PH, baik AMANAH, PKR mahupun PPBM. Kenyataan yang dikeluarkan mereka berhubung isu-isu seperti ini, jika ada pun, terlalu berlapik dan berhati-hati, menggambarkan seolah-olah mereka cuba menjaga hati pihak-pihak tertentu. Dan rakyat bukanlah terlalu jahil untuk tahu dan faham siapakah pihak yang cuba dijaga hatinya itu.

Hakikat ini sejajar dengan dapatan hasil kajian Merdeka Center yang menunjukkan pengundi Melayu lebih khuatir mengenai hak mereka meliputi isu kedudukan Islam, peranan mereka dalam hala tuju ekonomi dan politik negara, dan juga persoalan bagaimana kemewahan ekonomi negara kembali diagihkan kepada mereka.

Maka atas kesedaran sebeginilah, ramai orang Melayu melihat hanya BN (UMNO) dan PAS sahaja yang boleh diharap bagi membela dan mempertahankan agenda agama dan bangsa mereka. PAS mungkin tidak akan berjaya membentuk kerajaan apabila ia memilih untuk bersendirian kali ini, tapi setidak-tidaknya undian orang Melayu untuk mereka boleh ‘menyelamatkan’ negara daripada jatuh ke tangan golongan ataupun kumpulan yang tidak sensitif terhadap isu-isu yang berkait rapat dengan Islam dan Melayu di negara ini.

Faktor Melayu Kelas Pertengahan

Ramai yang membuat telahan bahawa UMNO dan BN hanya mampu menjana sokongan orang Melayu di kawasan-kawasan pedalaman dan dalam kalangan mereka yang masih bergelut dengan masalah kemiskinan. Dalam erti kata lain, telahan ini cuba memberikan konotasi bahawa UMNO kini sudah jauh daripada rakyat kelas pertengahan yang semestinya sudah mempunyai taraf hidup yang lebih baik. Hakikatnya, pendapat sebegitu hanya tersanggah dengan sendirinya atas beberapa faktor dan realiti.

Perspektif cetek yang mengaitkan undi sokongan untuk PH dengan pengundi daripada kelas pertengahan juga sebenarnya tidak boleh diterima bulat-bulat, khususnya di Malaysia yang teguh berpegang dengan kontrak sosial. Biarpun di sana ada sebuah teori yang menyatakan bahawa peningkatan jumlah golongan kelas pertengahan menyumbang kepada peningkatan peralihan undi dalam kalangan rakyat di negara demokratik, ianya tidaklah tepat 100 peratus di Malaysia.

Bilangan jumlah rakyat kelas pertengahan di negara ini sememangnya sedang bertambah dengan mendadak. Namun di sana terdapat perbezaan antara Melayu kelas pertengahan dengan rakyat bukan Melayu daripada kelas sosial yang sama. Pengalaman yang diperolehi oleh orang Melayu dalam ‘pendakian’ mereka ke kelas pertengahan sememangnya berbeza daripada kaum-kaum yang lain.

Ketika rakyat kelas pertengahan bukan Melayu rata-ratanya berusaha dengan wang keringat dan titik peluh mereka sendiri, ramai orang Melayu sebenarnya begitu berterima kasih kepada kerajaan pimpinan BN selama ini atas segala bantuan dan pertolongan yang diterima mereka khususnya dalam sektor pendidikan dan perniagaan. Data yang sahih dan jelas menunjukkan bagaimana Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan sebelum ini benar-benar mengangkat status ekonomi orang Melayu dengan mendadak, sekaligus merapatkan jurang ekonomi mereka dengan kaum lain khususnya kaum Cina.

Maka atas faktor tersebut, tidak hairanlah jika kita melihat UMNO masih mendapat kepercayaan yang tinggi daripada orang Melayu yang bukan sahaja datang daripada kelompok B40, bahkan ia turut disokong kuat oleh ramai orang Melayu daripada kelas pertengahan. Kebanyakan orang Melayu yang mendapat dan menikmati manfaat ini akan terus menjadi pengundi untuk beberapa PRU yang akan datang. Justeru, kita boleh menjangkakan bahawa undi orang Melayu daripada kelas ini tidak akan banyak beralih ke kem PH, setidak-tidaknya untuk PRU14 kelak.

Biarpun iklim ekonomi semasa dan kenaikan kos sara hidup rakyat dilihat memberikan sedikit ‘kelebihan’ kepada PH untuk meraih sokongan rakyat, apa yang pasti orang Melayu kebanyakannya belum lagi yakin mengenai prospek pemerintahan PH pasca PRU kelak. Segalanya sangat membimbangkan pada mereka apabila membicarakan soal memberikan peluang kepada pembangkang untuk memerintah negara pada kali ini. Di sebalik keyakinan PH bahawa mereka kini menikmati sokongan yang semakin meningkat dalam kalangan orang Melayu, mereka juga sebenarnya telah beberapa kali mengakui bahawa mereka berdepan tugas yang sukar untuk mencetuskan tsunami Melayu pada edisi PRU yang bakal tiba – malaysianaccess



Source link

admin

No Comments

You must be logged in to post a comment.

Show Buttons
Hide Buttons
%d bloggers like this: