© Copyright 2017, All Rights Reserved
Home / Ekslusif / Siapa sangka impian beraksi di Anfield menjadi kenyataan – Ian Johan Ariff

Siapa sangka impian beraksi di Anfield menjadi kenyataan – Ian Johan Ariff

TIDAK pernah saya terfikir untuk diberi peluang bermain di Anfield, stadium bola sepak milik kelab bola sepak ternama di England, Liverpool.

Sejak kecil lagi saya hanya menyimpan impian untuk satu hari berpeluang ke Anfield menonton Liverpool bermain dengan mata saya sendiri.

Lain pula ceritanya apabila diberi peluang untuk bermain di Anfield setelah saya dipilih sebagai salah seorang pemenang pertandingan mencari peminat setia Liverpool di peringkat global, “Take Me to Anfield” anjuran Malaysia Airlines awal tahun ini.

Ian Johan Ariff selepas wisel penamat perlawanan MH Global Team 2017 di Anfield, Liverpool.
Bagaimana saya terpilih?

Saya ke Anfield bukan kerana tugas membuat liputan sebagai media. Saya dipilih selepas video yang dihantar untuk pertandingan “Take Me to Anfield” disenarai pendek dan perlu melalui satu sesi temu bual bersama agensi yang dilantik Malaysia Airlines bagi memilih penyokong Liverpool yang bertuah.

Lebih kurang dua minggu selepas temu bual tersebut, saya mendapat emel memaklumkan yang saya adalah antara pemenang yang akan diterbangkan ke Liverpool.

Tiada perkataan dapat menggambarkan kegembiraan saya selepas mengetahui saya diberi peluang bermain di Anfield pada 13 Mei.

Ian bersama pemain Singapura, Mohd Rafee Abdul Rahman. Gambar - Meay Chan.
Siapa lagi yang terpilih dari Malaysia?

Selain saya, enam lagi pemenang ialah Umakartigan Gopal, Abdul Rayjal Abdul Jalil, Shamsul Bahri Hasamdin, Mohammad Ezuan Mazhan, Muhammad Uwais Rohizan, dan Harvinth Santira Kesu.

Tim Hamilton, seorang warga United Kingdom yang bekerja di Malaysia, turut dipilih sebagai salah seorang pemenang.

Kami dikehendaki melapor diri ke kem latihan di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara Kampung Baru bersama pemenang-pemenang dari Korea Selatan, China, England, Jepun dan Indonesia.

Di situ kami berkumpul bersama empat lagi pemenang pertandingan daripada kalangan kakitangan Malaysia Airlines iaitu Raiful Bahri Yusof, Mustaffa Kamal Ab Wahab, Alif Hariz Mohd Amin, dan Kong Fook Ann.

Kami bergabung dan dikenali sebagai kumpulan pertama MH Global Team.

Kembali ke London, tetapi pertama kali ke Liverpool

Saya pernah ke London untuk membuat liputan final Piala Liga Inggeris pada 2012 di antara Liverpool dan Cardiff City, namun belum pernah ke Liverpool.

Kini saya amat teruja kerana kembali ke United Kingdom dan akan ke Liverpool, destinasi yang saya idamkan untuk menjejakkan kaki setelah tidak berpeluang ke situ pada 2012.

Sejurus tiba di London, kami dibawa ke Liverpool dengan sebuah bas yang mengambil masa lebih kurang lima jam.

Bas yang membawa kami seakan bas yang membawa pemain Cardiff City yang yang naiki semasa membuat liputan final Piala Liga Inggeris 2012.

Layanan yang diberikan kepada kami boleh dikatakan kelas pertama seakan kami benar-benar pemain bola sepak profesional.

Kami menginap di Hilton Liverpool City Centre, sebuah hotel yang menjadi pilihan pemain-pemain bola sepak antarabangsa yang berkunjung ke Liverpool.

Pada keesokan harinya, kami diberi peluang untuk bertemu dengan dua lagenda kelab itu, Vladimir Smicer dan Patrik Berger.

Ian bersama dua lagenda Liverpool, Vladimir Smicer (kiri) dan Patrik Berger. Gambar - Meay Chan.
Kami diberi peluang berbual dan mengambil gambar serta mendapatkan tandatangan mereka sebelum dibawa ke The Academy, pusat latihan Liverpool yang terletak di Kirkby, lebih kurang 30 minit dari lokasi penginapan kami.

Ian pada hari pertama latihan di the Academy, akademi bola sepak Liverpool di Kirkby.
Siapa yang bertarung di Anfield?

Daripada 22 pemenang yang dipilih, kami dibahagikan kepada dua pasukan, Team Fowler dan Team McAllister, berdasarkan nama pengurus pasukan masing-masing.

Setiap pasukan akan dikendali legenda Liverpool, Robbie Fowler dan Gary McAllister.

Team McAllister di Anfield sebelum sepak mula. Gambar - Malaysia Airlines.
Saya dipilih untuk beraksi dalam pasukan McAllister dengan memakai jersi warna putih bernombor lima.

Jersi nombor lima mengimbau kembali detik saya dipilih untuk mewakili pasukan bola sepak Sekolah Kebangsaan Minden Heights Pulau Pinang.

Dari situ saya tahu saya perlu kembali bermain di posisi asal semasa di bangku sekolah iaitu di bahagian pertahanan kiri walaupun saya kini sering beraksi di bahagian serangan.

Lebih menarik lagi pasukan MH Global Team terdiri daripada pemain-pemain yang aktif di universiti dan liga amatur dari seluruh dunia.

Gabungan pelbagai budaya dan corak permainan yang berbeza daripada pemain-pemain yang dipilih dijangka dapat mempamerkan permainan yang cantik di Anfield nanti.

Bertemu lagenda dan idola Ian Rush

Saya sudah beberapa kali bertemu penjaring gol terbanyak Liverpool, Ian Rush di Malaysia sewaktu beliau hadir untuk kejohanan Masters of Football di Kuala Lumpur dan juga tetamu bagi acara anjuran Astro Supersports.

Namun pertemuan kali ini amat berbeza.

Saya diberi peluang untuk bersama Rush di dalam bilik persalinan pasukan utama Liverpool semasa dibawa menjelajah stadium Anfield.

Rush memberi kata-kata semangat sehari sebelum perlawanan kami berlangsung.

Kami merupakan orang luar pertama diberi peluang untuk memasuki bilik persalinan milik pasukan utama Liverpool.

Bukan sahaja setakat masuk bilik tersebut, kami juga dibenarkan menggunakan segala fasiliti yang digunakan pemain utama Liverpool dalam bilik persalinan itu.

Bermula daripada situ, saya amat menghargai pengalaman yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit ini; hanya melalui usaha sama Malaysia Airlines dan Liverpool FC kepada peminat setianya, impian itu kini tercapai.

Keesokan harinya lebih bermakna kerana kami bakal menjadi orang luar pertama menjejakkan kaki dan menyepak bola di padang Anfield.

Memijak rumput di Anfield buat pertama kali

Malam sebelum kami ke Anfield, ramai yang tidak dapat melelapkan mata kerana terlalu teruja untuk acap kalinya menggapai impian yang tidak pernah saya terfikir akan tercapai.

Bukan sahaja saya sudah berusia 36 tahun, malah saya menganggap ia sesuatu yang mustahil bagi pemain tempatan kerana pemain di negara ini tidak layak untuk menjadi pemain bola sepak profesional di England ekoran ranking dunia yang terlalu rendah.

Namun impian tersebut menjadi kenyataan dan direalisasikan Malaysia Airlines yang menjadi syarikat penerbangan rasmi global Liverpool pada 11 Oktober tahun lalu.

Sejurus tiba di Anfield pada Sabtu, 13 Mei, 1:45 petang, kami dibawa ke bilik persalinan pasukan utama Liverpool.

Jersi yang bakal dipakai oleh kami sudah digantung siap di bilik persalinan.

Jersi pemain Team Fowler digantung dalam bilik persalinan barisan utama Liverpool FC di Anfield. Gambar - Meay Chan.

Beberapa minit kemudian, kami diberitahu wakil daripada Liverpool FC bahawa kami dibenarkan masuk ke padang untuk bergambar dan merasai sendiri pengalaman pertama memijak rumput di Anfield.

Kesemua 22 pemain bergegas keluar untuk merasai pengalaman sekali seumur hidup itu dengan bergambar, membuat live video di Instagram, Facebook dan berbaring di tengah-tengah padang.

Ada yang hampir menangis dan berlari-lari sekeliling padang seakan kurang siuman.

Perlawanan Team Fowler vs Team McAllister

Sejak tiba di Liverpool kami dimaklumkan bahawa perlawanan kami akan disiarkan secara langsung di internet.

Tidak terfikir dalam hati kami yang striming di Facebook Goal.com itu ada pengulas serta dilengkapi grafik serta produksi multi-camera.

Sejurus berbaris memasuki padang pada 2:20 petang, lagu tema keramat bagi Liverpool, “You’ll Never Walk Alone” dimainkan.

Pasukan Fowler diketuai Rayjal melakukan sepak mula sementara kami bertahan di Kop End, tempat duduk bagi penyokong tegar Liverpool.

Pasukan saya terlebih dahulu di depan bermula dengan gerakan ‘one-touch’ iaitu hantaran saya saya kepada pemain sayap kanan, Yujiro Sagawa dari Jepun.

Ian cuba merampas bola daripada ketua pasukan Team Fowler, Abdul Rayjal di Anfield semasa perlawanan. Gambar - Malaysia Airlines.

Yujiro kemudian menghantar bola terus kepada ayam tambatan kami, Yang Wei Jie ataupun dikenali sebagai Kit yang merembat bola dari luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Team Fowler, Mohd Rafee Abdul Rahman dari Singapura.

Bagaimanapun, pemain dari Langkawi, Uwais menjadi pemain Malaysia pertama menjaringkan gol di Anfield apabila meledak gol penyamaan Team Fowler.

Fowler turut beraksi untuk pasukannya setelah Shamsul mengalami kecederaan lutut selepas 12 minit permainan menjadikannya satu pengalaman yang amat mengujakan dapat bermain bersama legenda kelab itu di Anfield.

McAllister turut terlibat dalam perlawanan itu dengan membuat beberapa hantaran menarik kepada kami, namun pasukan kami tidak dapat menyaingi kepantasan Team Fowler.

Perlawanan berakhir dengan kemenangan berpihak kepada Team Fowler yang memakai jersi merah 4-2.

Pengalaman yang tidak boleh dibeli

Ternyata peluang untuk bermain di Anfield dan menggunakan kemudahan akademi dan stadium bertaraf dunia di Liverpool satu yang tidak boleh dibeli dengan wang.

Sehingga kini tiada cara yang saya dapat gambarkan kegembiraan dan keterujaan saya dapat bermain bola sepak di Anfield selain berkongsi gambar di media sosial.

Dengan peluang yang diberikan Malaysia Airlines serta Liverpool FC untuk mendekati peminat, ternyata juara Eropah lima kali itu akan terus mencuri perhatian peminat bola sepak di seluruh dunia.

Saya berharap kejayaan saya ini sebagai bukti bahawa tiada perkara yang mustahil dalam mengejar impian masing-masing dan akan terus menyokong usaha MH Global Team dalam merealisasikan impian penyokong Liverpool yang lain untuk merasai pengalaman yang kami lalui.


*Ian Johan Ariff adalah seorang Penerbit dan Penyampai di Astro AWANI.
**Beliau sememangnya peminat tegar pasukan ‘The Reds’ dan sentiasa mengikuti perkembangan pasukan itu.


Source link

Tinggalkan Ulasan Anda

About admin

x

Check Also

Kenakan jaket berharga lebih AS50000 Melania Trump dikritik

SEPERTI suaminya, Donald Trump, Melania Trump, tidak dapat lari dari kritikan masyarakat, ...

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
© Copyright 2017, All Rights Reserved
%d bloggers like this: