© Copyright 2017, All Rights Reserved
Home / Antarabangsa / Ini adalah masanya untuk sebuah perkongsian memerangi keganasan – PM Najib

Ini adalah masanya untuk sebuah perkongsian memerangi keganasan – PM Najib


BERIKUT adalah artikel Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dua akhbar Arab Saudi sempena kunjungan beliau ke negara itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat minggu ini:

Ini adalah masanya untuk sebuah perkongsian memerangi keganasan

1.   Adalah satu kepuasan untuk berada di Arab Saudi, tetapi saya terutamanya merasa gembira untuk berada di sini di Riyadh yang mana Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud merujuk kepada  Sidang Kemuncak   Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat sebagai suatu peristiwa bersejarah.   Perjumpaan kami adalah tepat pada masanya dan amat diperlukan, dan saya yakin bahawa perhimpunan ini akan memperbaharui dan memberi tenaga baharu kepada persahabatan semua yang hadir dan menghasilkan hala tuju baharu untuk kerjasama, keselamatan dan persefahaman.

2.   Agenda utama persidangan adalah walaupun kerajaan yang ditubuhkan oleh Daesh di Iraq dan Syria mulai lemah, tiada siapa sepatutnya meragui bahawa ancaman daripada pengganas yang mencemar nama Islam masih tinggi.  Kepada negara yang berhimpun di sini, ia mungkin lebih meningkat apabila  pengganas  melarikan diri dari kawasan yang dikuasai mereka dan kembali ke negara masing-masing dan merancang untuk membawa keganasan ke bandar raya-bandar raya kita.  

3.   Ada yang terselamat. Di Malaysia, kami menghadapi cubaan pertama serangan yang mempunyai kaitan dengan Daesh tahun lepas, dan hanya menerusi  tindakan yakin dan berani polis dan pasukan keselamatan kami, hasilnya tiada korban dan kemusnahan dapat dielakkan.  Kini dunia amat memerlukan perkongsian baharu untuk berhadapan ekstremisme dan keganasan yang Raja Salman mencadangkan kita bina di sidang kemuncak ini, dan saya berterima kasih kepada baginda di atas jemputan ini dan mengalu-alukan  penglibatan  negara lain yang hadir. 

4.    Adalah penting kesemua negara Islam dan pemimpin-pemimpin  menjadikannya jelas bahawa tiada yang Islamik mengenai keganasan.  Sesiapa yang mengatakannya Islamik telah diperdaya oleh penceramah palsu dan mereka yang jahil atau mempunyai salah faham terhadap agama kami.  Islam yang sebenar ialah agama yang membawa petunjuk, ketamadunan dan keilmuan, bukannya kemusnahan dan kematian.

5.    Islam sebenar ialah agama keamanan, sebagaimana ditunjukkan selama lebih 1,000 tahun   penganut  Islam, Kristian dan Yahudi telah hidup dan berdagang serta bersahabat di Timur Tengah seperti di Malaysia  penganut Islam, Hindu, Buddha, Kristian, Taoisme dan lain-lain bekerja dan bermain bersama-sama dalam keadaan harmoni. 

6.    Untuk mengukuhkan keharmonian itu, Kerajaan Malaysia telah mempromosikan konsep wasatiyah, iaitu kesederhanaan menurut al-Quran, dan saya gembira usaha kami akan dapat ditingkatkan lagi dengan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman, di ibu negara kami, Kuala Lumpur.

7.     Arab Saudi merupakan rakan sejati Malaysia, dan kami gembira menjadi tuan rumah kepada lawatan negara baginda baru-baru ini, yang mana Arab Saudi mempunyai keyakinan terhadap ekonomi kami menerusi pengumuman pelaburan US$7 bilion di dalam projek penapisan dengan syarikat minyak dan gas  kami, Petronas.

8.   Ikatan utama bersejarah ini, adalah salah satu sebab mengapa Malaysia menyokong  sidang kemuncak ini sepenuhnya.   Kami senada dengan tujuannya untuk meningkatkan toleransi dan kewujudan bersama serta meningkatkan keselamatan, kestabilan dan kerjasama.

9.  Di dalam dan luar negara, Malaysia komited sepenuhnya  untuk memerangi ancaman keganasan dan ekstremisme ganas.  Selaku anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia menyokong sepenuhnya  usaha PBB seperti pelan tindakan Setiausaha Agung dalam mencegah ekstremisme ganas, yang menggesa  kepada perkongsian risikan dalam kalangan negara anggota.   Kami adalah negara anggota  kepada sembilan daripada 14 suratcara perundangan antarabangsa mengenai penentangan keganasan dan kami adalah sebahagian daripada gabungan sejagat menentang Daesh. 

10. Malaysia juga menyokong Pusat Dialog, Keamanan dan Persefahaman, satu inisiatif daripada Pertubuhan Kerjasama Islam di Jeddah.

11. Pendirian tegas ini telah diterjemahkan menjadi realiti dengan kesan praktikal yang ketara dalam negara kami sendiri. Kami memberi penekanan menangkis naratif melalui media sosial, dan Pusat Digital Serantau Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi untuk memerangi ekstremisme melangkaui Malaysia dan Asia Tenggara.

12. Kami di Malaysia juga mempunyai pengalaman luas dalam memulihkan mereka yang tunduk kepada suara-suara keganasan. Ini adalah sesuatu yang kami usahakan kerana kami tahu kami tidak boleh menyerah kalah terhadap mereka yang dipesongkan itu, tetapi masih boleh kembali menjadi anggota masyarakat yang berguna.

13. Program deradikalisasi kami telah berjaya terhadap beratus-ratus golongan ekstremis, dan kejayaannya mencapai 95 peratus dalam memulihkan mereka untuk kembali ke arus perdana dan menunjukkan bahawa walaupun orang-orang yang menjadi mangsa kepada ideologi palsu dan jahat akhirnya boleh menolak mereka, dan menjadi amaran, contoh dan petunjuk kepada orang lain.

14. Kami bersedia dan gembira untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran kami dalam hal ini dengan semua negara pada sidang kemuncak ini. Sebab, sama dengan seruan saya mengenai Pergerakan Kesederhanaan Global di PBB pada 2010, dan penubuhan yayasan berkenaan bagi menyokongnya di Kuala Lumpur, Malaysia tidak akan berhenti dalam usaha kita untuk memperjuangkan kesederhaan dan ajaran sebenar Islam, dan menyatakan dengan lantang dan jelas kepada golongan pelampau bahawa mereka tidak bercakap bagi pihak kami.

15. Saya percaya bahawa sidang kemuncak ini merupakan satu usaha penting untuk membawa hubungan antara dunia Islam dan Amerika Syarikat ke tahap baharu. Malah, melalui persefahaman yang lebih besar, kta boleh bekerjasama dengan lebih baik bagi menentang kejahilan, penyisihan dan rasa tidak puas hati yang boleh membangkitkan ekstremisme ganas.

16. Kita tahu bahawa Presiden Donald Trump komited untuk menghapuskan Daesh. Begitu juga Malaysia di bawah kepimpinan saya  – sama juga  melangkaui semua negara Islam pada sidang kemuncak ini.

17. Kita perlu memastikan bahawa keadaan tidak bertamadun yang kita lihat di Syria dan Iraq akan berakhir. Kita mesti menunjukkan bahawa kita sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan keganasan secara pantas dan tegas di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Kita tidak boleh menyerah kalah.

18. Ia terpulang kepada kita semua pada sidang kemuncak ini untuk menjalin kerjasama dan membuktikan, sekali dan untuk semua, bahawa tidak ada pertembungan tamadun, dengan dunia Islam di satu pihak dan Barat di pihak yang lain. Justeru kita semua – penganut semua agama – perlu bersatu, tegas, bertekad dan sedia bertindak. — BERNAMA


*Ini adalah terjemahan artikel lengkap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk akhbar Saudi Gazette dalam Bahasa Inggeris dan versi Bahasa Arab bagi akhbar Al Riyadh.


Source link

Tinggalkan Ulasan Anda

About admin

x

Check Also

Bantuan kepada Filipina bukti komitmen tangani ancaman Daish bersama

KULAI: Malaysia akan menghantar bantuan fasa kedua kepada tentera Filipina tidak lama ...

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
© Copyright 2017, All Rights Reserved
%d bloggers like this: