© Copyright 2017, All Rights Reserved
Home / Hiburan / Tidak tinggal dunia lakonan | Harian Metro

Tidak tinggal dunia lakonan | Harian Metro

Biasanya apabila pelakon wanita terutama yang sedang mencipta nama mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, pelbagai maklum balas diterima.

Paling tidak ada yang berkata, sayangnya kahwin awal sebab nama sedang naik. Nanti apabila lepas berumah tangga pasti nama akan suram dan tawaran berkurangan.

Situasi seperti itu langsung tidak berlaku kepada Izara Aishah, pelakon utama filem Kau Yang Satu dan kini ditayangkan di pawagam.

Izara yang mula dikenali menerusi drama bersiri Vanila Coklat, bertunang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tune Studios, Adib Khalid awal Julai lalu dan bakal bernikah pada 17 November depan.

Ditemui baru-baru ini, Izara menjelaskan setakat ini tidak ada satu pihak pun yang memberi reaksi sedemikian malah ramai yang gembira dengan keputusannya mahu bernikah.

“Lagi pun kalau dinilai pada sudut umur saya yang mencecah 25 tahun, ini adalah peringkat usia sesuai untuk saya mendirikan rumah tangga.

“Paling penting, jodoh sudah sampai. Kalau kita mahu menidakkan tetapi sudah tertulis di luh mahfuz ia pasti akan terjadi.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak terutama peminat yang menyambut baik keputusan saya mahu mendirikan rumah tangga.

“Cuma dalam tempoh menanti tarikh pernikahan dilangsungkan, doakanlah yang baik-baik untuk saya dan bakal suami,” katanya.

Izara akui apabila bernikah nanti sudah tentu dia akan mendahulukan suami dari segala segi dan kemudian baru kerjaya seni.

“Saya harus tahu kepentingan dalam hidup selepas bergelar isteri. Sudah tentu sedikit sebanyak rutin harian akan berubah, tetapi saya tidak akan meninggalkan dunia lakonan. Ia sudah menjadi minat saya sejak dulu lagi.

“Memang betul ada keputusan dibuat selepas bernikah nanti akan ditentukan bakal suami tetapi dia tidak pernah menghalang untuk saya terus aktif berlakon,” katanya.

Kata Izara, sebelum ini sepanjang tiga tahun mereka berkawan, Adib yang juga anak Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau Datuk K banyak memberi sokongan dan percaya sokongan ditunjukkan itu akan berterusan walaupun selepas mereka berkahwin.

“Dalam tempoh itu juga, dia sudah masak dan lali dengan cara saya bekerja. Menilai daripada sudut itu, saya tidak berasakan ia akan menjadi isu buat kami berdua.

“Cuma saya sendiri sebagai pelakon harus bijak memilih karya yang bagus untuk dibintangi atau ada watak ditawarkan menarik dan saya tidak pernah melakukannya sebelum ini,” katanya.

Dalam sibuk memberi tumpuan pada majlis pernikahannya nanti, Izara juga harus memberi perhatian kepada perniagaan gincu yang baru diusahakannya.

Katanya, perniagaan ini dilakukan lebih kepada minat dan dia memang mudah tertarik dengan alat solek.

“Apabila saya memakai gincu, ramai peminat bertanya. Jadi apabila saya mengeluarkan jenama sendiri dengan barisan warna yang memang saya gemari, saya dapat berkongsi dengan mereka.

“Ibaratkan gincu jenama saya ini adalah sebahagian hadiah daripada saya buat peminat,” katanya.

Menceburi bidang perniagaan alat solek sudah tentu memberi cabaran berbeza buat Izara terutama dalam berhadapan dengan persaingan.

Izara juga sedar ada ramai selebriti lain turut menghasilkan projek gincu dan ada antara mereka mengatakan disebabkan persaingan, produk yang dijual oleh artis kurang mendapat sambutan.

Bagaimanapun Izara menyangkal dakwaan itu. Katanya, walaupun jenamanya masih baru berbanding dengan produk gincu sedia ada, sokongan peminat dan pengguna sangat menggalakkan dan sekarang ini dia dalam proses untuk menghasilkan lebih banyak gincu bagi memenuhi permintaan.


Source link

Tinggalkan Ulasan Anda

About admin

x

Check Also

‘Sakitnya’ jari Chacha dihiris kaca

PELAKON Chacha Maembong, 21, mengalami cedera ringan membabitkan tiga jari tangan kanan ...

Facebook Auto Publish Powered By : XYZScripts.com
© Copyright 2017, All Rights Reserved
%d bloggers like this: