© Copyright 2017, All Rights Reserved
Home / Hiburan / Eleena pilih fokus muzik | Harian Metro

Eleena pilih fokus muzik | Harian Metro

Pernah dikenali dengan lagu Terlalu Rindu tahun lalu, kini Eleena Harris, 21, mempertaruhkan pula single ketiga, Iya Iya genre pop ciptaan DJ Fuzz dan lirik ditulis kumpulan Viral.

Eleena akui selesa menyanyikan lagu pop apatah lagi melodi dan lirik single Iya Iya sesuai dengan vokalnya. Dia juga teruja kerana Iya Iya bakal menjadi lagu tema untuk satu drama baru tidak lama lagi.

Katanya, ia peluang yang baik untuk publisiti Iya Iya dan berharap lagu itu diterima dengan baik.

“Selepas tamat pengajian, kini fokus saya pada bidang nyanyian kerana saya suka dan minat menyanyi. Malah tak sangka saya ada bakat mencipta lagu.

“Dengan bakat yang ada, saya cuba sedaya-upaya mengembangkannya sebaik mungkin. Saya pun tidak akan menyanyi selama-lamanya.

“Sampai masa, saya menyimpan impian untuk aktif bekerja di belakang tabir. Namun, kini saya dalam peringkat mengumpul pengalaman,” katanya.

Baru menamatkan pengajian jurusan Perakaunan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Eleena berkata, meskipun kini aktif dalam penciptaan lagu, dia tetap beri ruang pada karier nyanyiannya.

Katanya, dia amat meminati Meghan Trainor dan mempunyai angan-angan besar yang tersemat di hati.

“Sebenarnya saya bercita-cita menghasilkan lagu sehebat Meghan. Dia idola saya. Saya sukakan muzik dan lagu dinyanyikan Meghan. Kebanyakan lagunya mempunyai melodi ‘catchy’ dan sedap didengar,” katanya.

Selain single baru, Eleena atau Wan Eleena Wan Harris teruja apabila namanya tersenarai dalam pencalonan awal dua anugerah berprestij.

Katanya, walaupun belum dicalon hingga ‘Top 5’, tersenarai peringkat awal pun memadai.

“Saya tak sangka nama dicalonkan untuk kategori Penyanyi Meletop dalam Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017).

“Tidak itu saja, saya dan Mark Adam juga dicalon untuk lagu duet Hanya Dirimu dalam persaingan Drama Festival Kuala Lumpur 2017 (DFKL 2017),” katanya.

Antara menyanyi solo dan duet, gadis kelahiran ibu kota ini sentiasa bersikap terbuka. Dia tidak kesah kalau menyanyi solo atau pun duet. Apa yang penting lagu dinyanyikan sesuai.

“Saya utamakan gandingan bersama pasangan penyanyi untuk lagu kerana keserasian penting dalam bekerjasama,” katanya.

Selesa berkongsi karya ciptaannya bersama penyanyi lain, Eleena berkata, dia juga berhasrat mencipta lagu untuk penyanyi terkenal tanah air.

“Antaranya jika ada peluang, saya ingin mencipta lagu istimewa buat Datuk Siti Nurhaliza dan Dayang Nurfaizah. Tak salahkan, untuk menyimpan impian. Mana tahu ada rezeki juga suatu hari nanti,” katanya.

Mengenai pembabitannya dalam bidang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan, Eleena ada alasan sendiri.

“Kalau bidang pengacaraan saya kurang minat tetapi untuk lakonan pula saya teringin juga mencuba. Bagaimanapun, semuanya tetap bergantung pada peluang. Sebagai penggiat seni, saya amat terbuka,” katanya.

Eleena juga berusaha mengelak daripada terkait gosip dengan cara berhati-hati. Kalau boleh jangan sekali-kali dirinya terpalit dengan gosip sensasi.

“Jika ia gosip positif, tak mengapa. Bagi saya, tidak semua gosip berunsur negatif. Apa pun, ada baiknya berhati-hati,” katanya.


Source link

Tinggalkan Ulasan Anda

About admin

x

Check Also

Batal sesi fotografi saat akhir

Ini bukan kali pertama Cik Pang dengar sikap penyanyi rap popular, Waris ...

© Copyright 2017, All Rights Reserved