© Copyright 2017, All Rights Reserved
Home / Hiburan / Aishwarya tak gila publisiti | Harian Metro

Aishwarya tak gila publisiti | Harian Metro

Filem Kuch Kuch Hota Hai yang ditayangkan pada 1998 bukan saja menjadi sebutan sehingga kini malah pelakon utamanya, Shah Rukh Khan, Kajol dan Rani Mukerji terus dikaitkan dengan filem itu.

Bagaimanapun mungkin ramai tidak tahu watak Tina yang dijayakan Rani Mukerji pada awalnya ditawarkan kepada Aishwarya Rai tetapi bekas Ratu Cantik Dunia 1994 itu menolaknya.

Katanya, jika dia bersetuju melakonkan watak Tina, yakin filem itu tidak berjaya seperti sekarang.

“Tidak dinafikan sehingga kini filem dan pelakon filem itu masih menjadi sebutan. Karan Johar memang menawarkan watak Tina tetapi saya mempunyai komitmen lain ketika itu.

“Ketika menerima tawaran itu, saya membandingkan diri dengan pelakon senior. Kalau saya terima watak itu, saya tidak yakin berupaya merealisasikan watak itu sebagaimana Rani.

“Mungkin juga menjadi bahan kutukan dan sebab itulah saya tidak terima tawaran berkenaan. Ternyata filem itu sememangnya dihasilkan untuk mereka dan Rani melakonkan watak itu dengan baik,” katanya.

Melihat kejayaan filem itu, Aishwarya, 43, tidak pernah menyesal menolak tawaran itu apatah lagi pelakon utamanya sehingga kini masih kekal dalam ingatan penonton.

Katanya, dia tidak melihat perkara itu sebagai isu besar dan berasa bertuah kerana memenangi pertandingan Ratu Cantik Dunia.

“Setiap orang mempunyai sesuatu yang menjadi ingatan kepada peminatnya. Saya tidak ada rasa menyesal menolak tawaran itu.

“Sampai hari ini pun saya masih percaya saya sudah membuat keputusan yang tepat. Saya tidak mahu diingati kerana sesuatu yang buruk,” katanya.

Bagi Aishwarya, setiap pelakon mempunyai hak untuk berfikir dan dia mengakui mendapat peluang berlakon kerana status bekas Ratu Cantik.

“Bagi saya, semua orang harus menerima hakikat itu. Saya berpeluang bekerja dalam filem-filem hebat kerana pembikin filem itu sendiri yang datang dan menyatakan hasrat mereka untuk bekerjasama.

“Saya percaya setiap pelakon mempunyai perjalanan seni yang berlainan,” katanya.

Aishwarya juga tidak setuju hubungan antara lelaki dan wanita dijadikan sebagai isu untuk menaikkan populariti. Baginya, ia tidak boleh dibuat main-main.

Dia juga tidak suka melobi mana-mana syarikat media cetak mahupun elektronik agar wajahnya terpampang sebagai penghias muka depan.

Katanya, dia hanya akan bersetuju ditemubual apabila mempunyai bahan cerita yang ingin dikongsikan.

“Ada antara selebriti berhak diberi publisiti dan mereka layak diberi peluang itu. Tetapi ada juga antara mereka yang tidak mempunyai sebarang cerita baru namun masih diberikan ruang itu.

“Bagi saya, lebih baik ruang itu diberikan kepada pelakon yang mempunyai banyak kisah untuk dikongsikan. Terutama pendatang baru yang berpotensi untuk bergelar pelakon di Hollywood. Mereka sangat memerlukan publisiti itu,” katanya.

Menjadi selebriti terkenal, dia tidak dapat mengelak dari terpalit dengan cerita-cerita panas tetapi Aishwarya sekali pun tidak pernah membuat kacau dengan syarikat penerbitan.

Katanya, dia memilih untuk membiarkan umum terus berteka-teki dan enggan memanjangkan isu. Sehingga kini, Aishwarya percaya berdiam diri membawa lebih banyak kebaikan.

“Tidak perlu memberi penjelasan kerana tindakan itu akan membawa keburukan. Isu yang diperkatakan akan terus panas dan tidak ada penghujung.

“Kebanyakan cerita panas yang bertebaran selalunya berkaitan dengan kisah peribadi. Kalau saya tampil memberi penjelasan, mungkin lebih banyak yang terbongkar.

“Mungkin juga ia akan mencipta lebih banyak khabar angin. Saya lebih suka berdiam diri. Membuka mulut dengan niat menjelaskan perkara sebenar umpama membocorkan rahsia yang kita simpan,” katanya.


Source link

Tinggalkan Ulasan Anda

About admin

x

Check Also

Acara rai peminat drama | Harian Metro

Melihat perkembangan positif drama tempatan yang semakin mendapat sambutan, Astro bakal menganjurkan ...

© Copyright 2017, All Rights Reserved