© Copyright 2017, All Rights Reserved
Home / Politik / Implikasi Terhadap Negara Apabila United Examination Certificate (UEC) Diiktiraf

Implikasi Terhadap Negara Apabila United Examination Certificate (UEC) Diiktiraf

Apabila bahang pilihanraya ke-14 (PRU14) semakin terasa, suara-suara desakan menggesa Kerajaan mengiktiraf UEC mula saling bersahutan. Platform tuntutan ini sudah boleh dijangka. Seperti diduga, resolusi Mesyuarat Agung setiap pertubuhan dan persatuan yang berasaskan kaum Cina iaitu daripada Dewan Perniagaan Cina, persatuan yang mewakili setiap jenis perniagaan kaum Cina dan parti politik yang didominasi oleh kaum Cina secara konsistennya menuntut Kerajaan mengiktiraf UEC.

UEC, Resolusi dan Undi kaum Cina

Resolusi tersebut hanyalah untuk menunjukkan solidariti kaum Cina yang bertujuan memberi isyarat tersirat kepada Kerajaan. Pihak yang menjadi juara dalam tuntutan ini sudah pastinya daripada pertubuhan pendesak kaum Cina iaitu Dong Zong yang kini kononnya lebih mesra BN.

Umum mengetahui Dong Zong adalah seperti tekong perahu yang menentukan kecenderungan sokongan kaum Cina dalam sesuatu pilihan raya. Tidaklah menjadi sesuatu yang menghairankan apabila undi kaum Cina dilihat seperti mempunyai kesepakatan.

Dong Zong melalui puluhan persatuan malah ribuan ahli daripada gabungan persatuan tersebut mampu dikatakan mampu mencorakkan keputusan pilihanraya. Mereka juga menjadikan keputusan Pilihan raya Negeri Sarawak sebagai testimoni.

Cuma apa yang pelik sejak akhir-akhir ini, ahli politik berpengaruh daripada UMNO sendiri menyatakan sokongan secara terbuka terhadap pengiktirafan UEC.

Sukar difahami adakah mereka ini tidak sedar akan kesan akibat sekiranya tuntutan tersebut ditunaikan? Isu tentang pengiktirafan UEC malah hal-hal berkaitan dengan pendidikan Cina di negara ini telah dibahaskan sejak sekian lama.

Ahli Parlimen veteran dalam kalangan parti Kerajaan dan pembangkang pasti lebih memahami isu ini jika mereka mengikuti perbahasan Rang Undang-Undang Pendidikan 1995 dahulu.

Oleh itu, apakah sebenarnya UEC ini sehingga lebih empat dekad isu dan tuntutan yang sama terus hidup tanpa kesudahannya?

Gabungan Persatuan Dong Jiao Zong menganugerahkan UEC

Pensijilan adalah anugerah dari satu peperiksaan yang dijalankan bagi menguji mata pelajaran tertentu yang diajar dalam sesuatu sistem pendidikan. Oleh itu, pengiktirafan sesuatu sijil pada dasarnya perlu melihat kepada kurikulum yang diajar, cakupannya, kualiti tenaga pengajar dan pelbagai aspek lain yang perlu dilihat dari segi teknikalnya.

Sebenarnya UEC hanyalah output daripada sistem pendidikan Cina yang dijalankan di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC). Dalam hal ini adalah sesuatu yang menjadi tanda tanya apabila Dong Zong mahupun Jiao Zong tidak pernah walaupun sekali menuntut dengan jelas kepada Kerajaan supaya sistem pendidikan yang dijalankan di SMPC diiktiraf sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan.

Sebaliknya, tuntutan dan desakan mereka hanya tertumpu kepada pengiktirafan UEC sahaja. Strategi pendokong pendidikan Cina berjaya memesongkan pandangan masyarakat umum tentang perkara pokok sebenarnya.

Tahukah anda SMPC menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar utama dan dengan sengaja menafikan peruntukan perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan?

Adakah masyarakat umum juga menyedari bahawa SMPC yang berjumlah 60 buah di seluruh Malaysia dari mula beroperasi hingga kini melaksanakan kurikulum yang dibina sendiri oleh Dong Zong? Sedangkan Dong Zong sendiri tidak mempunyai mandat mahupun diperuntukkan sebarang kuasa melalui peruntukan perundangan yang membolehkannya melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Seringkali Dong Zong berhujah bagi mendapatkan simpati masyarakat dengan mengatakan Kerajaan mengamalkan double standard terhadap UEC.

Status UEC digambarkan sebagai sama kedudukannya dengan IGCSE, ‘A’ Level, ‘O’ Level dan International Baccalaureate (IB).

Faktanya ialah kesemua peperiksaan luar negara tersebut dikendali dan dikawal selia oleh badan yang berkredibiliti dan berautoriti dalam pendidikan di negara masing-masing.

IGCSE, ‘A’ Level dan ‘O’ Level adalah di bawah Cambridge Universiy manakala IB dikawal selia oleh International Baccalaureate Organisation (IBO) yang berpusat di Geneva.

Walaupun sering diuar-uarkan bahawa kurikulum SMPC bagi mata pelajaran Matematik dan Sains cakupannya lebih luas daripada kurikulum kebangsaan namun hakikatnya itu tidak boleh dijadikan sandaran dalam menentukan kualiti sesuatu sistem pendidikan.

Tidak seperti badan yang mempunyai autoriti dalam menggubal kurikulum seperti yang telah wujud sekian lama di Kementerian Pendidikan, pada pandangan Dong Zong bertambah besar cakupan sesuatu kurikulum bermaksud bertambah berkualitilah sesuatu sistem pendidikan itu.

Dalam hal ini, penggubalan sesuatu kurikulum turut mengambil kira kesesuaian umur dengan kurikulum di samping keperluan kurikulum itu sendiri.

Bukanlah menjadi dasar mana-mana negara di dunia ini dengan sengaja menggubal tahap kurikulum yang lebih tinggi berbanding kohort umur semata-mata untuk dikatakan berkualiti.

Hakikatnya Dong Zong hanya membebankan pelajar SMPC kepada perkara yang tidak perlu. Ini kerana tahap tersebut sepatutnya dipelajari oleh pelajar dalam peringkat pendidikan seterusnya. Begitu juga dengan kandungan dan kualiti buku teks yang dihasilkan sangat meragukan. Daripada sistem pendidikan Cina di SMPC inilah yang melahirkan UEC.

Secara amnya, seperti yang dikatakan secara ringkas sebelum ini tentang kualiti kurikulumnya selain menafikan peruntukan perlembagaan tentang bahasa kebangsaan jelas menjawab kenapa Kerajaan enggan mengiktirafkannya.

UEC hanyalah satu peperiksaan peringkat dalaman yang dikendali dan dikawal selia oleh hanya sebuah gabungan yang berstatus ‘persatuan’ Cina dan jauh sekali layak untuk diiktiraf sebagai peperiksaan umum di Malaysia.

Kemasukan Lepasan UEC ke universiti terkemuka dunia

Dakwaan yang menyatakan bahawa UEC dengan sendirinya diiktiraf oleh universiti terkemuka di dunia termasuklah Harvard University dan Oxford University merupakan suatu pernyataan yang keterlaluan (overstatement).

Hakikatnya, pelajar lulusan UEC juga disyaratkan untuk menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti luar negara seperti College Admission Test (CAT) dan Scholastic Assessment Test (SAT) sebelum layak diterima masuk untuk mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda.

UEC sebagai kemasukan terus (direct entry) ke universiti merupakan suatu fakta yang tidak tepat dan hanyalah sebagai satu helah untuk mengaburi pemahaman masyarakat umum.

Golongan pendesak tersebut seharusnya bersikap lebih telus dan berani menyatakan perkara yang benar ini kepada masyarakat umum jika mereka benar-benar ikhlas dan tidak mempunyai agenda yang tersembunyi.

Pengiktirafan UEC dan kesannya terhadap negara

UEC dari perspektif umum memberi tanggapan bahawa hanyalah sekadar satu sijil yang boleh digunakan oleh pelajar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Dalam konteks ini, mana mungkin boleh mendatangkan kesan besar terhadap negara. Persepsi dan perspektif sedemikian hendaklah diperbetulkan.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, UEC merupakan output daripada sistem pendidikan Cina yang dilaksanakan di 60 buah SMPC.

Pengiktirafan UEC juga bermakna Kerajaan turut mengiktiraf sistem pendidikan Cina di SMPC. Pengiktirafan UEC dan SMPC akan mengakibatkan implikasi yang mampu mengubah lanskap pendidikan di negara ini.

Pertamanya, akan wujud dua sistem pendidikan di negara kita iaitu sistem pendidikan kebangsaan dan sistem pendidikan Cina. Secara langsungnya, hal ini akan menyebabkan berlaku situasi pengasingan kaum secara terancang yang merencat agenda perpaduan nasional.

Berdasarkan trend penyertaan murid ke sekolah rendah mengikut kaum sangat jelas menunjukkan bahawa ibu bapa kaum Cina lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Pada masa yang sama, kempen-kempen yang dilakukan oleh NGO kaum India sejak kebelakangan ini telah berjaya meningkatkan penyertaan murid kaum India ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Akhirnya Sekolah Kebangsaan (SK) akan menjadi eksklusif kepada murid kaum Melayu sahaja walaupun pada hakikatnya tiada diperuntukkan oleh undang-undang kewujudan SK Melayu seperti SJKC dan SJKT.

Atas dasar itulah, terdapat rasional kenapa semua murid dari pelbagai aliran pendidikan rendah perlu mengikuti pendidikan di peringkat menengah yang sama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

Hanya di SMK sahajalah platform yang ada bagi menemukan semua murid pelbagai kaum untuk memupuk perpaduan.

Maka, dengan pengiktirafan UEC itu nanti ibu bapa kaum Cina pastinya akan menghantar anak-anak mereka meneruskan pendidikan menengah di SMPC.

Kesan daripada itu, akan berlaku pertambahan bilangan SMPC yang ketara bagi menampung keperluan pendidikan menengah semua kaum Cina. Secara prinsipnya, di negara ini kaum Cina akan mempunyai sistem pendidikan yang eksklusif untuk mereka bermula dari peringkat pendidikan prasekolah sehinggalah ke peringkat menengah.

Bukan juga sesuatu yang mustahil tuntutan ini berlanjutan hingga ke peringkat pendidikan tinggi seperti yang diperjuangkan oleh Dong Zong. SMK yang dikatakan sebagai platform yang menemukan semua murid pelbagai kaum tiada lagi membawa sebarang makna.

Perpaduan yang diharapkan untuk dipupuk di SMK mungkin hanya melibatkan murid Melayu dan sebilangan murid India sahaja, itupun sekiranya bernasib baik.

Lanjutan daripada ini, sijil yang diperoleh oleh murid juga adalah berasaskan kaum. Murid Cina akan memperoleh sijil UEC manakala sijil SPM hanyalah diperoleh oleh murid bukan Cina. Keadaan akan menjadi lebih buruk lagi sekiranya berlaku fenomena double-standard sekiranya sijil UEC dianggap lebih baik daripada sijil SPM dan menghadkan peluang lulusan SPM untuk melanjutkan pengajian ataupun mendapatkan pekerjaan.

Keduanya, kualiti murid yang dihasilkan oleh sistem pendidikan Cina tidak mengikut acuan pembinaan sebuah negara bangsa yang bertunjangkan Rukunegara dan menggagalkan pembentukan Gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan antara kaum. Berbanding dengan sistem pendidikan kebangsaan yang menganjurkan perpaduan kaum seiring dengan matlamat dan hala tuju negara, pengiktirafan UEC dikhuatiri akan menjejaskan matlamat dan hala tuju perpaduan yang ingin dicapai.

Seterusnya, desakan untuk mengiktiraf sijil UEC bagi kemasukan ke universiti awam (UA) menafikan hak murid yang mengikuti sistem pendidikan kebangsaan dan mencetuskan ketidakpuasan hati pihak yang terlibat serta menjejaskan keharmonian antara kaum. Situasi genting seumpama ini seharusnya dielakkan tanpa kompromi.

Disebabkan pendidikan di SMPC hanya memberi kelebihan kepada kaum Cina sahaja, maka, ianya secara tidak langsung akan menggugat dasar dan matlamat pendidikan negara untuk menyediakan pendidikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum seperti yang dilaksanakan di SMK. Hakikatnya, SMK merupakan satu-satunya wadah dan platform terbaik bagi memupuk perpaduan nasional dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini.

Timbal balas dan langkah ke hadapan

Berdasarkan kepada hujah yang dikemukakan, ternyata bahawa sistem pendidikan kebangsaan dan sistem pendidikan Cina tidak mungkin menemui titik pertemuan.

Hujah ini mungkin dianggap keterlaluan atau over-exerting, namun adalah berasas ekoran perbezaan yang ketara dalam konteks aspirasi kedua-dua sistem tersebut; pendirian pihak pendokong pendidikan Cina yang tidak langsung mahu bertolak ansur dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan melainkan kepentingan kaum Cina itu sendiri berbanding pendirian Kerajaan yang mendahulukan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum; dan konflik yang timbul hasil daripada pengasingan kaum yang wujud daripada kedua-dua sistem pendidikan tersebut.

Justeru, sanggupkah kita sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan menyedari kepentingan perpaduan kaum dalam membina jati diri dan negara bangsa merelakan situasi ini terus wujud dalam sistem pendidikan di negara ini? Tepuk dada dan tanyalah selera!


Source link

Tinggalkan Ulasan Anda

About admin

x

Check Also

Krisis Air Tercemar : Penduduk Gaza Jatuh Sakit Setiap Hari

GAZA CITY – Semakin ramai penduduk Gaza dilaporkan jatuh sa­kit setiap hari ...

© Copyright 2017, All Rights Reserved